X
Rabu, 16 Mei 2018 | 5:17pm
MOHD Azhar (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai barang yang dirampas pada sidang media di Balai Polis Sandakan. - Foto Hazshah Abdul Rahman
MOHD Azhar (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai barang yang dirampas pada sidang media di Balai Polis Sandakan. - Foto Hazshah Abdul Rahman

Polis Sandakan selesai 10 kes jenayah

SANDAKAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menyelesaikan 10 kes membabitkan curi harta benda, pecah rumah dan samun di sekitar daerah ini, selepas menahan lima lelaki dan seorang wanita dipercayai terbabit dengan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata semua suspek terbabit berusia 21 hingga 54 tahun, dengan empat daripada mereka adalah warga asing.

Katanya, kesemua mereka ditahan antara 22 April hingga Isnin lalu.

"Lima daripada mereka didapati positif dadah. Pelbagai barang disyaki hasil jenayah dan peralatan jenayah bernilai RM22,000 berjaya dirampas daripada suspek.

"Antara suspek yang ditahan, iaitu seorang wanita dan lelaki yang diberkas pada Isnin lalu, kira-kira jam 3.40 petang di kawasan setinggan Seguntor, Batu 10, di sini.

"Kedua-dua suspek adalah warga asing dan ketika ditahan, pelbagai barang seperti penapis udara, peralatan pembesar suara, keris dan pelbagai lagi dianggarkan bernilai RM20,000 ditemui bersama mereka," katanya pada sidang media di IPD Sandakan di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, modus operandi mereka adalah menyasarkan premis perniagaan dan melakukan jenayah secara berkumpulan.

Semua kes disiasat mengikut Seksyen 395/397, 392, 457 dan 379 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata, pecah rumah dan curi.

Berita Harian X