Selasa, 15 Mei 2018 | 5:48pm
MOHD Farid (kiri) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan dan merangsang untuk melakukan kelucahan melampau terhadap 10 murid lelaki di sebuah sekolah agama integrasi di Bangi antara Februari 2014 dan April 2017 ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Kajang. - Foto Aizuddin Saad
MOHD Farid (kiri) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan dan merangsang untuk melakukan kelucahan melampau terhadap 10 murid lelaki di sebuah sekolah agama integrasi di Bangi antara Februari 2014 dan April 2017 ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Kajang. - Foto Aizuddin Saad

Bekas guru KAFA didakwa cabul, rangsang murid lelaki

KAJANG: Seorang bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 20 pertuduhan mencabul kehormatan serta merangsang untuk melakukan kelucahan melampau.

Mohd Farid Yusof, 31, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap 10 murid lelaki di sebuah sekolah agama integrasi di Bangi, antara Februari 2014 hingga April tahun lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mohd Farid didakwa atas dua pertuduhan merangsang dua kanak-kanak lelaki yang ketika kejadian masing-masing berusia 10 hingga 11 tahun, untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.

Tertuduh juga menghadapi 18 pertuduhan mencabul dengan meraba, memegang, memicit kemaluan dan mencium mulut lapan kanak-kanak-lain yang berusia antara sembilan hingga 12 tahun.

Selain itu, tertuduh didakwa turut menjilat lidah dan punggung kesemua kanak-kanak berkenaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik guru, bilik kesihatan, bilik alat pandang dengar, bilik kokurikulum dan tiga kelas di sekolah terbabit.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon diberikan jaminan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan dilarang mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X