Selasa, 15 Mei 2018 | 12:06pm
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) menunjukkan ular tedung selar yang berjaya ditangkap di sebuah kedai memproses ayam segar di Jalan Rambong, Pulai. - Foto ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) menunjukkan ular tedung selar yang berjaya ditangkap di sebuah kedai memproses ayam segar di Jalan Rambong, Pulai. - Foto ihsan APM

Ular tedung 10kg sorok di bawah kusyen kerusi

BALING: Seekor ular tedung selar seberat 10 kilogram (kg) dan panjang lima meter, ditemui menyorok di bawah kusyen kerusi di sebuah kedai memproses ayam segar di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi, ular itu dijumpai pekerja, Zuhairi Salleh, 36, ketika membuka pintu kedai berkenaan untuk memulakan perniagaan.

Zuhairi berkata, ular itu dipercayai menyorok di bawah kusyen tempat mereka berurusan dengan pelanggan, sejak semalam.

"Saya ternampak ekor ular bergerak di bawah kusyen lalu menunggu rakan tiba kerana bimbang, lebih-lebih lagi keadaan agak gelap ketika itu," katanya.

Beliau berkata, sebelum itu, ada rakan memaklumkan ternampak seekor ular di kawasan luar kedai dan tidak menyangka ia akan memasuki premis berkenaan.

"Saya memang berasa tidak sedap hati ketika hendak masuk ke dalam kedai sebelum ternampak kelibat ular itu.

"Selepas itu, saya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM) untuk menangkap ular berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.20 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Beliau berkata, empat anggota mengambil masa 20 minit untuk menangkap seekor ular tedung selar di dalam kedai terbabit.

Katanya, ular itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum dilepaskan ke habitat asal.

Sejak awal tahun ini, beliau berkata, pihaknya sudah berjaya menangkap 15 ekor ular berbisa yang dipercayai keluar mencari makanan seperti tikus atau katak, selain akibat perubahan cuaca.

Justeru, katanya, orang ramai perlu berhati-hati apabila terserempak ular berbisa dan segera menghubungi APM.

"Jika ada kes kecemasan, boleh hubungi talian 04-4701626 atau 999," katanya.

Berita Harian X