Jumaat, 11 Mei 2018 | 6:26pm
LOKASI kejadian dalam kejadian bunuh, di sebuah rumah di Blok 03, Kampung Murai, Ladang Kretam, di Tawau. - Foto Ihsan Polis

Polis siasat kematian isteri pekerja ladang

TAWAU: Polis masih menyiasat berhubung kes bunuh membabitkan seorang pekerja ladang yang mati dipercayai ditetak di Ladang Kretam, Kalabakan, dekat sini, pada 4 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata siasatan itu berikutan penemuan satu lagi mayat wanita, Ani Beddu, 42, yang juga isteri mangsa lelaki yang ditetak.

"Suspek masih ditahan dan direman selama 14 hari. Hasil pendedahan suspek, mangsa wanita ditetak suaminya ketika bergaduh selepas ditemui berdua-duaan dengan suspek dalam kejadian itu.

"Mayat wanita itu ditemui jiran selepas terhidu bau busuk di rumah mereka di Kampung Murai di ladang itu, kira-kira jam 1.50 tengah hari, 8 Mei lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadil berkata, mayat mangsa ditemui di bahagian dapur dan dipercayai dia pulang ke rumah tanpa dilihat sesiapa selepas polis selesai menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

"Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat kehilangan banyak darah namun sukar dicam kecederaannya kerana mayat sudah kembung dan berulat. Hasil bedah siasat terdapat dua kesan tetakan pada leher mangsa," katanya.

Difahamkan, selepas kejadian itu wanita terbabit melarikan diri dalam keadaan cedera selepas ditetak, sebelum pulang semula ke rumah.

Pada 5 Mei lalu, seorang pekerja ladang maut selepas disyaki ditetak oleh teman lelaki isterinya di sebuah rumah di Blok 03, Ladang Kretam, dekat sini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Amir Mappiase, 35, disahkan mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada leher, manakala isterinya dilaporkan melarikan diri.

Hasil maklumat dan bantuan penduduk kampung sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan berjaya menahan suspek yang bersembunyi di kawasan ladang, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Berita Harian X