Sabtu, 5 Mei 2018 | 5:37pm

Warga emas mangsa 'scammer' rugi RM17,000

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM17,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket 'Macau Scam', Selasa lalu.

Wanita berusia 70 tahun yang tinggal di Taman Mewah, Binjai Rendah, Marang, itu mendakwa dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah bank kira-kira jam 11.30 pagi memaklumkan kononnya pinjaman berjumlah RM50,000 dibuat mangsa tertunggak selama tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa yang pelik kemudian bertanya nilai tunggakan pinjamannya sebelum suspek menyambungkan panggilan kepada seorang lelaki yang kononnya seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Beliau berkata, mangsa semakin panik apabila lelaki berkenaan memaklumkan kononnya seorang pengedar dadah tersilap memasukkan wang ke dalam akaun banknya.

"Suspek meminta mangsa menyemak baki akaunnya untuk pengesahan sama ada benar atau tidak pengedar dadah itu tersilap memasukkan wang.

"Sebaik menyemak akaun banknya di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail di sini, mangsa memberitahu suspek baki wang simpanannya berjumlah RM17,000 sebelum 'anggota polis' itu meminta warga emas berkenaan memindahkan wang ke sebuah akaun bank yang diberikan suspek," katanya.

Beliau berkata, bimbang sebarang kejadian tidak diingini berlaku ke atas dirinya, mangsa tanpa berfikir panjang memindahkan wang secara 'online' sebanyak lima kali ke akaun bank berkenaan dengan nilai keseluruhan RM17,000 pada hari sama.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian bercerita kepada seorang rakannya mengenai kejadian sebelum menyedari ditipu selepas disedarkan rakannya itu.

"Tanpa berlengah warga emas itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil," katanya.

Idris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X