Ahad, 29 April 2018 | 3:53pm

Tak sempat makan tengah hari

JASIN: Seorang pemandu lori maut selepas dilanggar sebuah lori yang berundur di sebuah ladang getah di Kilometer 7 Jalan Felda Air Kangkung, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi, mangsa Ong Teck Hong, 51, dari Port Dickson, Negeri Sembilan, maut di tempat kejadian selepas dilanggar lori yang sedang berundur sehingga dia tersepit antara lori dan sebuah jentera pembersih ladang.

Difahamkan, nahas berlaku ketika mangsa meletakkan lorinya tidak jauh dari lokasi kejadian untuk makan tengah hari.

Ketika mangsa hendak mengambil hidangan tengah hari, sebuah lori dipandu rakannya berusia 62 tahun, berundur dan tidak menyedari mangsa berada di belakang dipercayai akibat bunyi bising enjin jentera pembersih ladang.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit antara belakang lori dan jentera pembersih ladang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata ketika kejadian jentera pembersih ladang sedang melakukan kerja-kerja menebang pokok getah.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat dijalankan malam tadi di Jabatan Forensik Hospital Jasin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata Arshad ketika dihubungi, hari ini.

Berita Harian X