Jumaat, 27 April 2018 | 3:10pm
KETUA Polis Daerah Wangsa Maju, Mohamad Roy Suhaimi Sarif. Foto Muhammad Asyraf Sawal
KETUA Polis Daerah Wangsa Maju, Mohamad Roy Suhaimi Sarif. Foto Muhammad Asyraf Sawal

Pengurus produksi disyaki edar dadah

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus produksi ditahan kerana disyaki mengedar dadah selepas polis menemui pelbagai jenis bahan terlarang itu yang dianggarkan bernilai RM5,150 di dalam keretanya di hadapan sebuah restoran di Jalan Langkawi, Setapak, di sini, petang kelmarin.

Dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Wangsa Maju, kira-kira jam 3 petang itu, polis turut merampas pelbagai barang kemas dan sebuah kereta yang dianggarkan bernilai RM120,000.

Difahamkan, lelaki berusia 37 tahun berkenaan yang pernah mendapat gelaran Datuk Seri turut terbabit dengan jenayah kongsi gelap, selain mempunyai pelbagai rekod jenayah.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek, pihaknya mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methaphetamine.

"Sepasukan anggota dari BSJND Wangsa Maju melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta Honda City warna Kelabu di hadapan restoran di Setapak yang dipandu seorang lelaki.

"Kami menjumpai satu beg kecil berwarna hitam berisi 23 paket berisi bahan disyaki dadah jenis heroin, lima paket berisi bahan disyaki dadah jenis Methaphetamine dan satu paket disyaki dadah jenis ganja.

"Polis turut menemui satu kotak berisi satu paket besar mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin bersama 33 paket kecil berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dalam beg itu.

"Kami turut menemui enam foil aluminium yang mengandungi lima pil Eramin 5 seberat 2 gram dalam poket baju suspek," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, secara keseluruhan, polis merampas heroin seberat 242.58 gram, Eramin 5 2 gram, Methaphetamine 16.44 gram dan ganja 5.55 gram dengan nilai dianggarkan RM5,150.

"Kami syaki barang kemas dan kenderaan yang digunakan suspek adalah hasil daripada jualan dadah. Kami merampas satu kereta, dua rantai emas, satu gelang emas, tiga cincin emas dan satu anting-anting emas.

"Suspek didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39 B, Seksyen 39 A(1), Seksyen 6, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Berita Harian X