Khamis, 26 April 2018 | 12:54pm

Adik ugut bunuh abang ditahan

MELAKA: Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan mengugut untuk membunuh abangnya dipercayai akibat perselisihan faham di sebuah rumah di Taman Nyalas Baru, Asahan, Jasin, di sini, pagi semalam.

Lelaki berusia 24 tahun yang mengacukan pisau ke arah abangnya itu ditahan sepasukan anggota polis kira-kira jam 3.05 pagi selepas lebih empat jam usaha memujuknya dilakukan supaya menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata kejadian berlaku ketika pengadu bersama ibunya berusia 60-an yang tiada di rumah, bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada isteri suspek, kira-kira jam 9.15 malam.

Beliau berkata, sejurus tiba di rumah, abang suspek berusia 26 tahun bertanyakan apa yang dilakukan suspek ke atas isterinya.

"Bagaimanapun, suspek mengeluarkan kata-kata kesat lalu pergi ke dapur mengambil sebilah pisau dan mengacukan ke arah abangnya itu.

"Suspek turut berkata mahu membunuh abangnya beberapa kali, tetapi di halang ibu mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arshad berkata, ibu, isteri dan abang suspek kemudian keluar daripada rumah kerana bimbang jika perkara tidak diingini berlaku.

"Tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan di lokasi kejadian menemui sebilah pisau.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek tidak mengambil sebarang bahan terlarang. Suspek direman tiga hari sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 306 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X