Isnin, 23 April 2018 | 8:45pm
Mangsa, Mohd Izamuddin Mohamad Tahir menceritakan detik cemas apabila terkena renjatan elektrik ketika memasang tiang bendera parti sempena PRU Ke-14 di Parit Yusof. - Foto Adi Safri
Mangsa, Mohd Izamuddin Mohamad Tahir menceritakan detik cemas apabila terkena renjatan elektrik ketika memasang tiang bendera parti sempena PRU Ke-14 di Parit Yusof. - Foto Adi Safri

'Terpelanting bagai ditendang'

MUAR: "Saya rasa arus elektrik panas seperti api sebelum terpelanting bagai ditendang," kata mangsa renjatan elektrik ketika memasang bendera politik, Mohd Izamuddin Mohammad Tahir.

Katanya, ketika itu beliau hanya sempat menyebut kalimah Allah sebelum tidak sedarkan diri.

Mohd Izamuddin, 57, adalah antara empat mangsa yang terkena renjatan ketika cuba memasang bendera parti politik berhampiran talian elektrik bervoltan tinggi di Kampung Parit Subari, Parit Yusof, malam Sabtu lalu.

Beliau bersyukur kerana terselamat walaupun patah tulang rusuk, selain melecur pada kedua-dua tangan dan perut, selain luka pada dahi akibat terjatuh di atas jalan.

"Ketika Kejadian, saya dan beberapa rakan memasang bendera di kawasan jambatan berdekatan talian bervoltan tinggi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Ketika menaikkan tiang buluh, saya berada atas jambatan bagi membantu menstabilkan tiang manakala tiga lagi rakan berada di bawah sebelum tiba-tiba terkena renjatan elektrik.

Ketua Kampung Parit Subari, Md Isa Abdul Aziz menunjukkan tempat kejadian dimana mangsa Mohd Izamuddin Mohamad Tahir dan rakan mengalami kemalangan apabila terkena renjatan elektrik ketika memasang tiang bendera parti sempena PRU Ke-14 di Parit Yusof. - Foto Adi Safri
Ketua Kampung Parit Subari, Md Isa Abdul Aziz menunjukkan tempat kejadian dimana mangsa Mohd Izamuddin Mohamad Tahir dan rakan mengalami kemalangan apabila terkena renjatan elektrik ketika memasang tiang bendera parti sempena PRU Ke-14 di Parit Yusof. - Foto Adi Safri

"Tiga lagi rakan saya turut cedera seperti melecur tetapi saya yang agak teruk kerana orang pertama terkena renjatan.

"Saya pengsan kira-kira 15 minit sebelum saya dan rakan lain dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan susulan," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Parit Subari, di sini, hari ini.

Mohd Izamuddin berkata, ia kejadian pertama dialaminya ketika memasang bendera parti politik pada setiap kali pilihan raya sejak 1980-an.

Berikutan kejadian itu, katanya, bajunya turut koyak dan berlubang seperti terkena tembakan.

Katanya, rakannya yang berada di tempat kejadian ternampak percikan api daripada kabel bervoltan tinggi dan bunyi letupan yang agak kuat di lokasi berkenaan.

"Alhamdulillah, semua rakan saya selamat dan dalam keadaan stabil. Kami semua dibenarkan pulang, tengah hari tadi.

"Bagaimanapun kecederaan saya agak teruk sedikit, jadi terpaksalah saya terlantar seketika di atas katil sebab nak bangun pun rasa agak sakit pada dada," katanya.

Ditanya nasihatnya kepada pemasang bendera parti politik pada pilihan raya kali ini, beliau berkata, semua pihak sama ada individu atau berkumpulan perlu mengutamakan keselamatan diri.

"Kalau nak pasang (bendera), jauhkan sedikit daripada kabel elektrik. Mesti minta pandangan daripada pihak TNB dahulu dan TNB pun kena letak juga papan amaran bahaya di kawasan bervoltan tinggi," katanya.

Berita Harian X