Jumaat, 20 April 2018 | 5:04pm
 LORI kren yang digunakan untuk menarik lori lain yang terbabas di Jalan Kota Belud - Ranau, Kampung Sogoh, Kota Belud. - Foto Recqueal Raimi
LORI kren yang digunakan untuk menarik lori lain yang terbabas di Jalan Kota Belud - Ranau, Kampung Sogoh, Kota Belud. - Foto Recqueal Raimi

Pemandu kren tercampak kena kejutan elektrik

KOTA BELUD: Seorang pemandu lori kren terselamat selepas kenderaannya mengalirkan arus elektrik sejurus penghujung besi penarik mengenai kabel tiang elektrik di Jalan Kota Belud-Ranau di Kampung Sogoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah hari itu yang turut menyebabkan tayar kenderaan terbakar, Wendy Alexlander Adun, 30, bagaimanapun hanya cedera ringan pada kedua-dua tapak tangan.

Saksi kejadian yang juga penduduk kampung, Arrey Pailin, 22, berkata sebelum itu sebuah lori lain terbabas di jalan raya dan meminta bantuan pemandu lori kren yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

"Pemandu lori kren tiga tan itu gagal menarik lori terbabas kerana kedua-duanya hampir sama berat.

"Ketika menarik kali kedua, tiba-tiba penghujung besi penarik terlepas dan terkena kabel tiang elektrik, menyebabkan tayar lori kren terbakar manakala pemandunya terhumban ke luar kenderaan akibat kejutan elektrik," katanya kepada NSTP.

Arrey berkata, beberapa penduduk yang melihat kejadian itu segera membantu memadamkan api menggunakan sumber air paip berhampiran.

PEMANDU lori kren, Wendy Alexlander Adun, 30, terselamat dan hanya mengalami cedera ringan pada kedua-dua tapak tangannya. - Foto Recqueal Raimi
PEMANDU lori kren, Wendy Alexlander Adun, 30, terselamat dan hanya mengalami cedera ringan pada kedua-dua tapak tangannya. - Foto Recqueal Raimi

"Mangsa ditenangkan penduduk dan dia kelihatan trauma berikutan kejadian itu," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Rozlan Osman, berkata sembilan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 12.08 tengah hari.

"Sebaik tiba, bomba mendapati api pada dua tayar belakang lori kren berjaya dipadamkan penduduk manakala enjin lori kren terhenti secara automatik.

"Pada masa sama, bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud untuk pemeriksaan," katanya.

Berita Harian X