Ahad, 15 April 2018 | 4:05pm

Dua maut kereta terbabas rempuh pokok

SUBANG JAYA: Dua maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas merempuh pokok di Persiaran Tujuan USJ 11, dari arah USJ 4 ke arah Persiaran Kewajipan di sini, awal pagi tadi.

Dalam nahas jam 5.21 pagi itu, Muhammad Eimran Mohd Yusof dan Nur Nabilah Zulkifly, kedua-duanya berusia 22 tahun, maut di tempat kejadian.

Muhammad Eimran yang berasal dari Subang Jaya di sini, dan Nur Nabilah yang berasal dari Semerah, Batu Pahat, Johor, masing-masing cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata pemandu kereta PERODUA Myvi terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas merempuh pokok yang berada di sebelah kiri jalan.

"Kedua-dua mangsa disahkan mati di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

"Kita mohon sekiranya ada pihak yang menyaksikan kemalangan ini untuk tampil kepada polis bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sebarang maklumat berhubung kemalangan itu, boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nasser Peping menerusi telefon, 03-7862 7222

Berita Harian X