Sabtu, 14 April 2018 | 3:16pm

Meraung lihat ayah maut dalam kemalangan

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki hanya mampu meraung dan menangis ketika melihat jenazah ayahnya yang maut dalam kemalangan di Jalan Ipoh, di sini, semalam.

Remaja itu yang datang ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran Pasar Borong Selayang selepas Bulatan Batu Caves menghala ke Rawang, Selangor bersama rakannya terpaksa ditenangkan pihak berkuasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Hisham Mohd Yusof, 47, disahkan maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya melanggar pembahagi jalan sebelum digilis sebuah lori.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa dari arah Jalan Kuching menghala ke Rawang cuba memotong lori terbabit yang berada di laluan kanan.

"Tindakan mangsa menyebabkan motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan.

"Pemandu lori berusia 48 tahun gagal mengelak lelaki itu yang terjatuh menyebabkan mangsa masuk ke bawah lori terbabit," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zulkefly berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

"Pemandu lori terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sebelum dirujuk ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

ANAK lelaki mangsa yang hadir ke lokasi nahas yang membabitkan bapanya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.
Berita Harian X