Jumaat, 13 April 2018 | 12:11pm

Pinjaman tak dapat, RM9,550 lesap

KUANTAN: Hasrat juruelektrik mahu membaiki bumbung rumahnya dengan membuat pinjaman wang tidak kesampaian selepas diperdaya sindiket penipuan syarikat pinjaman wang tidak wujud.

Malah, lelaki berusia 27 tahun dari bandar Lipis itu turut ditipu RM9,550 selepas diminta oleh sindiket berkenaan membuat pelbagai bayaran bagi tujuan permohonan pinjaman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa pada mulanya berminat untuk membuat pinjaman itu apabila melihat satu iklan oleh Syarikat Care Finance (M) Sdn Bhd, di aplikasi WeChat, akhir bulan lalu.

"Mangsa yang membuat pinjaman kerana mahu membaiki bumbung rumahnya bersetuju membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000.

"Oleh demikian, mangsa ditawarkan dengan bayaran bulanan sebanyak RM710 selama 48 bulan oleh seorang lelaki sebelum diminta untuk memasukkan wang terlebih dahulu sebagai wang simpanan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa diberitahu suspek bahawa selepas segala urusan proses pinjaman wang selesai, wang pendahuluan sebanyak RM9,550 akan dikembali kepada mangsa.

"Mangsa kemudian memasukkan wang berkenaan melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ke dalam satu akaun bank yang diberikan oleh suspek, menerusi tiga kali transaksi.

"Tiga transaksi berkenaan dilakukan secara berperingkat bermula 30 Mac hingga 5 April lalu sebelum mangsa menghubungi suspek, namun tidak berjawab. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, semalam," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang juruteknik sebuah kilang di Pekan di sini kerugian RM3,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa adalah suspek utama dalam kes pengubahan wang haram.

Mohd Wazir berkata, pada 4 April lalu, mangsa dihubungi seorang suspek yang menyamar sebagai kakitangan Pos Malaysia Subang Jaya, yang mendakwa terdapat dokumen atas nama mangsa tidak diambil.

"Mangsa meminta suspek untuk membukanya dan diberitahu terdapat satu dokumen menyatakan mangsa memiliki hutang tertunggak kad kredit sebanyak RM4,000 dan dinafikan mangsa sebelum diberitahu berkemungkinan data peribadinya digunakan oleh individu lain.

"Suspek juga mendakwa nama mangsa adalah suspek utama di dalam kes pengubahan wang haram dan memintanya memindahkan wang tunai sebanyak RM3,000 ke dalam akaun bank yang diberi bagi mengelak direman.

"Mangsa kemudian memindahkan wang berkenaan ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek, sebelum menyedari ditipu dan membuat laporan polis di IPD Pekan, semalam," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Berita Harian X