Rabu, 11 April 2018 | 3:19pm

SPAD kesan pemandu salah guna e-hailing

KUALA LUMPUR: Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengesan taktik baru 'prebet sapu' yang menggunakan aplikasi e-hailing sebagai jalan mudah untuk mendapatkan penumpang.

Modus operandinya adalah dengan memujuk orang awam di kawasan tumpuan, dan apabila pelanggan bersetuju, mereka akan memasukkan butiran penumpang, kononnya ia adalah permintaan daripada penumpang.

Jurucakap Penguatkuasa SPAD berkata, pemandu kenderaan berdaftar dengan sistem aplikasi e-hailing yang mendapat kelulusan daripada SPAD sepatutnya menerima permintaan daripada penumpang terlebih dahulu dan bukannya memujuk penumpang.

"Kegiatan penyalahgunaan aplikasi e-hailing ini dikesan selepas menahan seorang pemandu kenderaan persendirian yang memujuk pelanggan di kaunter teksi di Hadapan Balai Ketibaan ERL, KL Sentral, di sini, petang kelmarin.

"Kami melakukan pemeriksaan dan mendapati lelaki berusia 40-an itu membawa dua penumpang warga New Zealand bagi perjalanan ke Melia Hotel, dekat sini, dengan kadar bayaran RM80," katanya dalam ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kenderaan terbabit disita kerana disyaki melakukan kesalahan mengendalikan suatu kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali.

"Siasatan lanjut mendapati pemandu berkenaan menggunakan aplikasi e-hailing yang sah, namun hanya 'key in' atau memasukkan maklumat menerima pelanggan selepas berjaya mendapatkan penumpang.

"Sedangkan prosedur pengendalian yang sebenar adalah penumpang yang perlu membuat permintaan melalui aplikasi sebelum ia diterima oleh pemandu seperti proses aplikasi lain.

"Kami menyita kenderaan berkenaan dan pemandu diberikan notis Notis 80, Notis 81, Notis 224, Notis 222 dan Notis 207 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pengendali aplikasi e-hailing sepatutnya menambak baik sistem mereka supaya ia tidak sewenang-wenangnya disalahgunakan pemandu dan modus operandi itu adalah pertama kali dikesan.

Berita Harian X