Selasa, 10 April 2018 | 3:12pm

Tipu jual beg tangan mewah

KAJANG: Seorang pemilik butik beg tangan mewah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu membabitkan pembelian dua buah beg tangan berjenama Christian Dior dan Chanel, yang keseluruhannya berharga RM17,500.

Bagaimanapun, tertuduh Noor Shakila Shaari, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Tertuduh yang memakai baju-T berwarna kelabu kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan pertama, Noor Shakila, yang juga menjual beg dalam talian itu didakwa menipu Candice Ng Wei Lynn, 28 dan memperdayakannya untuk memasukkan wang berjumlah RM9,000 ke dalam akaun Public Bank milik tertuduh bagi satu transaksi penjualan beg tangan jenama Chanel yang tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No 91 Lorong CP3 /22A Taman Cheras Perdana, Batu 9, Cheras, dekat sini, di antara 30 Ogos hingga 5 September tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia juga didakwa atas kesalahan yang sama dengan memperdayakan Yeoh Cheong Ai, 39, untuk memasukkan wang berjumlah RM8,500 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh bagi satu transaksi penjualan beg tangan jenama Christian Dior yang tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Cassia West Goodview Height, Jalan Goodview 5, Hulu Langat ,dekat sini pada 14 Ogos dan 27 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat , serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R Siamalah, mencadangkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-kedua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam bela V Premshangar, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya sudah memberi kerjasama dengan pihak polis berhubung siasatan kes itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan

11 Mei untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X