Jumaat, 30 March 2018 | 6:56pm

Dibelasah kerana mengendap orang mandi

BUTTERWORTH: Seorang lelaki Myanmar berusia 30 tahun yang dicekup kerana mengendap wanita sedang mandi, kemudian cedera dibelasah orang ramai di Kuala Muda, Penaga, di sini, sebelum diberkas polis, semalam.

Dalam kejadian itu, suspek yang sudah berkahwin dan tinggal berdekatan rumah mangsa dicekup ketika sedang mengendap seorang wanita yang juga pembantu akauntan berusia 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, wanita berkenaan berada dalam bilik air dan terdengar seperti ada orang berjalan di belakang rumahnya sebelum terus memaklumkan abangnya mengenai hal itu.

"Hasil siasatan polis mendapati suspek yang juga jiran mangsa itu sudah berkahwin dan mempunyai anak serta bekerja sebagai nelayan.

"Wanita berkenaan berkata, kejadian itu sudah beberapa kali berlaku kepadanya ketika sedang mandi pada waktu pagi.

"Abang mangsa dapat melihat suspek dengan jelas ketika menyuluh wajahnya yang mencuri masuk ke dalam kawasan rumah mangsa yang berpagar," katanya.

Menurutnya, abang kepada mangsa yang mengecam suspek menangkap lelaki berkenaan sebelum dipukul oleh orang kampung sehingga video itu tular di media sosial.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

Berita Harian X