Jumaat, 23 March 2018 | 8:45pm
DONG Show Kang (gambar kecil) ditemui lemas dalam kolam di sebuah klinik kesihatan di Taiping, semalam. - Foto Nor Raidah Awang

Budak lemas dalam kolam di klinik kesihatan

TAIPING: Kanak-kanak lelaki ditemui lemas dalam kolam di sebuah klinik kesihatan di sini semalam selepas dipercayai terjatuh ke kolam ketika bermain bersama kakak dan bapanya di kawasan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam, Dong Show Kang, 18 bulan, ditemui terapung dalam kolam itu oleh bapanya yang menyedari kehilangan mangsa sejurus selepas pergi ke tandas.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 9.36 malam daripada pihak klinik kesihatan berkenaan yang memaklumkan ada kanak-kanak jatuh dalam kolam di kawasan klinik.

"Siasatan dijalankan mendapati seorang lelaki berusia 40 tahun membawa anak lelakinya yang berusia 18 bulan serta anak perempuan berusia lima tahun ke kawasan kolam berkenaan bersama seorang rakan.

"Mereka dikatakan ke kawasan kolam itu untuk bermain-main dan pada jam 9 malam lelaki berkenaan pergi membuang air kecil dan apabila kembali mendapati anak lelakinya sudah hilang manakala anak perempuannya ada berhampiran kolam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad berkata, mangsa kemudian ditemui terapung dalam kolam berkenaan dan disahkan meninggal dunia oleh doktor di klinik terbabit.

"Bapa mangsa yang bekerja sebagai pemasang jubin dan rakan lelakinya yang berada di lokasi kejadian sudah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana cuai," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa Lee Shell Loo berkata, suaminya membawa dua anak mereka ke kawasan klinik berkenaan untuk bermain kira-kira jam 7 malam.

"Kira-kira jam 8 malam suami saya sedar kehilangan anak bongsu kami dan bersama orang ramai mencari di kawasan sekeliling klinik tetapi tidak jumpa.

"Mayat anak saya kemudian dijumpai dalam kolam," katanya.

Berita Harian X