Khamis, 22 March 2018 | 3:42pm
ANGGOTA Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap ular sawa batik di rumah berhampiran Taman Keluarga, Penampang. - Foto Mohd Adam Arinin

'Rupa-rupanya Kuning ditelan ular sawa'

PENAMPANG: "Sekali dengan rantai yang baru saya beli semalam, ular itu telan," kata Sahran Nurin, 35, apabila kucing peliharaannya ditelan ular sawa batik di rumahnya berhampiran Taman Keluarga, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Sahran bersama-sama anaknya lelaki musykil kucing kesayanganya tiada di rumah.

Menurutnya, dia kemudian meminta anaknya berusia 14 tahun mencari kucing kesayangan yang diberina nama 'Kuning' kerana bimbang ia dicuri.

"Anak saya kemudian mencari di bawa rumah dan tidak lama selepas itu, dia memaklumkan seekor ular sedang menelan kuning.

"Saya kemudian meluru ke bawah rumah dan terkejut melihat ular sawa itu memuntahkan Kuning. Bimbang ular itu bertindak agresif, saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu," katanya.

Sahran berkata, dia terkilan dan sedih melihat kucing yang dipeliharanya sejak kecil mati telan oleh ular sawa berkenaan.

"Sedih melihat Kuning dimuntahkan oleh ular itu, sekali dengan rantai yang baru semalam saya beli," katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Bonnie Madisun berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, empat anggota APM Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, ular itu baru memuntahkan seekor kucing peliharaan milik wanita terbabit.

"Operasi menangkap dijalankan dengan menggunakan peralatan khas dan dalam tempoh lima minit anggota berjaya menangkap ular berkenaan," katanya.

Bonnie berkata, ular berukuran empat meter dengan berat hampir 40 kilogram di bawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu dan akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Berita Harian X