Rabu, 21 March 2018 | 4:15pm

Suami isteri didakwa perdagangkan amah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan pembantu rumah mereka untuk bekerja secara paksa dengan menggunakan kekerasan, lima tahun lalu.

Fong Yik Cheat @ Fong Siang Chin, 46, dan suaminya Cheng Ming Soon, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama telah memperdagangkan mangsa, seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun, bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara kekerasan di sebuah rumah di Desa Park City, Kepong, Sentul, di sini, pada jam 1.20 petang, antara 17 September 2013 dan 21 Februari lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdangangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk B Jayanthi Devi.

Terdahulu, Najwa tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu pasport kedua-dua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di balai polis berdekatan.

Jayanthi bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah terhadap kedua-dua anak guamnya .

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 April ini.

Berita Harian X