Rabu, 14 March 2018 | 2:52pm
MOHD Izzat Noor Rudin (kiri) dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini, atas dua pertuduhan menakutkan seorang lelaki menggunakan pisau bulan lalu. - Foto Mohd Zulkifli Zainuddin
MOHD Izzat Noor Rudin (kiri) dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini, atas dua pertuduhan menakutkan seorang lelaki menggunakan pisau bulan lalu. - Foto Mohd Zulkifli Zainuddin

Dipenjara 5 tahun, guna pisau takutkan mangsa

KOTA BHARU: Seorang penganggur dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menakutkan seorang lelaki menggunakan pisau bulan lalu.

Hakim Bazli Bahruddin mengenakan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Izzat Noor Rudin, 35, yang mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan terbabit.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Izzat didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau di Kedai Kak Ti belakang Hospital KPJ, Jalan Bayam, di sini, pada jam 6.30 petang, 18 Februari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan menakutkan secara jenayah ke atas mangsa, Mohammad Afzainizam Azmi, 22, dengan menggunakan sebilah pisau dan sebatang pemutar skru di tempat dan masa sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia mempunyai penyakit jantung dan perlu melakukan rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun untuk pertuduhan pertama, manakala penjara lapan bulan bagi tuduhan kedua yang berjalan serentak daripada tarikh ditangkap.

Berita Harian X