Isnin, 12 March 2018 | 1:41pm
 SEBAHAGIAN warga asing diperiksa anggota penguatkuasa imigresen dalam Ops Mega 2.0 di premis pemborong pakaian di Sungai Petani, semalam. - Foto Ihsan JIM Kedah
SEBAHAGIAN warga asing diperiksa anggota penguatkuasa imigresen dalam Ops Mega 2.0 di premis pemborong pakaian di Sungai Petani, semalam. - Foto Ihsan JIM Kedah

Imigresen gempur premis tumpuan warga asing

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen negeri menggempur premis tumpuan warga asing di sekitar Jalan Kampung Baru, Sungai Petani, dalam Op Mega selama empat jam, semalam.

Dalam operasi dari jam 1 tengah hari hingga 5 petang disertai 10 anggota penguat kuasa, tiga premis diserbu membabitkan kedai pemborong pakaian dan perniagaan perkhidmatan wang berlesen.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata dalam serbuan itu, pihaknya memeriksa 195 warga asing.

Hasil pemeriksaan awal, katanya, tiga wanita warga Indonesia, dua lelaki warga Nepal dan masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh serta Myanmar, dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

"Mereka yang berusia antara 27 hingga 40 tahun itu disyaki melakukan kesalahan seperti menetap lebih masa di Malaysia dan tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah.

"Dalam operasi ini juga, seorang bayi lelaki warga Indonesia berusia dua bulan dibawa bersama ibunya yang ditahan anggota penguat kuasa kerana didapati menetap lebih masa tiga tahun," katanya.

Zuhair berkata, premis yang diserbu menjadi tumpuan warga asing, terutama pada hujung minggu untuk tujuan bekerja mahupun bersiar-siar.

Beliau berkata, kesemua warga asing ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Katanya, mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik, untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X