Isnin, 5 March 2018 | 3:00pm
AMAR Singh (kiri) bercakap pada sidang media operasi akaun Mule dan Jenayah Siber di Menara KPJ. - Foto Mahzir Mat Isa
AMAR Singh (kiri) bercakap pada sidang media operasi akaun Mule dan Jenayah Siber di Menara KPJ. - Foto Mahzir Mat Isa

44 'keldai akaun' ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 44 individu yang juga 'keldai akaun' selepas akaun milik mereka terbabit dalam transaksi jenayah siber dalam Operasi 'Mule Account' Siri 1 2018 yang dijalankan di seluruh negara bermula 1 Mac hingga hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, operasi dijalankan buat pertama kali itu mensasarkan pemilik akaun yang terbabit lebih daripada lima kes dilaporkan oleh mangsa jenayah siber.

"Pada 1 Mac lalu, kami melancarkan operasi berkenaan dengan memburu pemilik akaun yang terbabit dalam jenayah siber yang ada lebih lima laporan polis membabitkan tiga kes utama iaitu 'Macau Scam', 'African Scam' dan 'E-Financial Fraud'.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 27 wanita dan 17 lelaki berusia lingkungan 21 hingga 57 tahun termasuk suri rumah, pelajar dan penganggur kerana terbabit dengan 319 kertas siasatan kes jenayah siber dengan nilai kerugian lebih RM17 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Amar berkata, kebanyakan suspek yang ditahan adalah wanita mempunyai hubungan dengan dalang utama kegiatan tiga jenayah siber itu.

"Kebanyakan dalang utama kegiatan jenayah siber adalah warga asing yang memerlukan individu tempatan sebagai 'orang tengah' bagi mendapatkan akaun untuk melakukan transaksi pemindahan wang.

"Ada antara 'keldai akaun' ini diberikan ganjaran wang dan barangan berharga selain dikaburi dengan 'hubungan cinta' oleh dalang utama bagi memujuk mereka memberikan maklumat peribadi untuk membuka akaun sama ada mereka sedar dipergunakan atau sebaliknya," katanya.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyerahkan maklumat peribadi kepada pihak ketiga yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan kegiatan jenayah," katanya.

Berita Harian X