Ahad, 25 Februari 2018 | 7:03pm

Gagal samun, hadiah penumbuk

LAHAD DATU: Gadis berusia 17 tahun ditumbuk di mata, mulut dan perut selain pipinya ditampar beberapa kali oleh seorang lelaki dalam kejadian cubaan samun di tingkat dua sebuah bangunan di Dataran Palma, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.16 tengah hari itu, mangsa dikatakan baru tiba di lokasi berkenaan untuk menunggu kakaknya.

Namun seorang lelaki tidak dikenali menghampiri dan menarik baju mangsa lalu meminta supaya menyerahkan barang milik mangsa seperti telefon bimbit, wang dan barang berharga namun mangsa enggan.

Menurut sumber, suspek terus menumbuk di bahagian mata, mulut dan perut mangsa serta beberapa kali menampar pipinya.

"Mangsa yang kesakitan menjerit meminta tolong menyebabkan suspek terus melarikan diri (tanpa berjaya meragut barang milik mangsa).

"Mangsa kemudian beredar dan menghubungi kakaknya sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis," katanya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

"Siasatan masih diteruskan dan polis sedang mengesan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan," katanya.

Berita Harian X