Sabtu, 24 Februari 2018 | 10:54pm
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan operasi mencari dan menyelamat pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Faizal Yusri,23, yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama beberapa rakannya di Lata Hammer, Bentong. - Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan operasi mencari dan menyelamat pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Faizal Yusri,23, yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama beberapa rakannya di Lata Hammer, Bentong. - Foto Ihsan Bomba

Pelajar UIAM dikhuatiri lemas di Lata Hammer

BENTONG: Seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dikhuatiri lemas ketika mandi bersama-sama rakannya di Lata Hammer, dekat sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata mangsa yang hilang dikenali Mohd Faizal Yusri,23, berasal dari FELDA Sungai Tiang, Pendang, Kedah.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.50 pagi dan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Pasukan kita tiba ke lokasi kejadian yang terletak 25 kilometer (km) daripada Balai Bomba Bentong pada jam 12.26 tengah hari bersama-sama anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Hutan dan Bentong Treker 8," katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, lima pelajar UIAM, termasuk mangsa mandi di Lata Hammer dan tiba-tiba semua mereka tenggelam dan terkapai-kapai meminta pertolongan.

Bagaimanapun, Mohd Sani berkata, empat daripadanya berjaya diselamatkan orang awam, manakala mangsa dipercayai dihanyutkan arus lalu tenggelam.

Beliau berkata, pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki sejauh empat kilometer (km) untuk ke lokasi kejadian kerana keadaan jalan rosak dan tidak boleh dilalui kenderaan.

"Operasi mencari dan menyelamat dimulakan dengan pencarian di permukaan air terpaksa dihentikan pada jam 6 petang tadi berikutan hujan lebat serta cuaca gelap.

"Kita akan teruskan operasi esok dan paling dibimbangi ialah berlakunya kepala air," katanya.

Berita Harian X