Selasa, 20 Februari 2018 | 3:20pm
MOHAMED Zulmazi menunjukkan statistik penipuan Macau Scam yang berlaku di Kelantan ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. - Foto Siti Norhidayatidayu Razali
MOHAMED Zulmazi menunjukkan statistik penipuan Macau Scam yang berlaku di Kelantan ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. - Foto Siti Norhidayatidayu Razali

Pesara kerajaan rugi RM200,000

KOTA BHARU: Seorang pesara kerajaan kerugian RM200,000 bulan lalu selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai anggota polis dan menuduhnya terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Pesara itu yang mahu dikenali sebagai Yusoff, 60-an, berkata dia terpedaya selepas mendapat panggilan daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Yusoff berkata, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai Sarjan dan memberitahu dia terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram.

Selepas diugut dengan kesalahan jenayah, Sarjan menyuruh Yusoff bertenang dan memberitahu ada jalan penyelesaian jika sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun yang diberikan.

"Takut dengan ugutan sindiket yang mendakwa saya boleh dipenjara atas kesalahan pengubahan wang haram menyebabkan saya terus memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud, berkata dalam tempoh Januari 2017 hingga Januari lalu, seramai 42 mangsa yang terpedaya dengan penipuan Macau Scam di negeri itu yang membabitkan jumlah kerugian lebih RM1 juta.

"Kebanyakan mangsa adalah penjawat awam dan usahawan wanita yang berusia 40 tahun ke atas termasuk mereka yang berpencen serta mempunyai kedudukan kewangan kukuh," katanya kepada NSTP ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, biasanya sindiket Macau Scam akan menghubungi mangsa secara rawak dengan menyamar sebagai pegawai bank dan memaklumkan mereka mempunyai tunggakan pinjaman peribadi yang tidak dijelaskan walaupun hakikatnya mangsa tidak pernah membuat sebarang pinjaman bank sebelum ini.

Katanya, pemanggil akan membaca maklumat mangsa secara terperinci dan mendakwa ia turut digunakan oleh pihak ketiga sebagai penama pinjaman peribadi hingga menyebabkan nama disenarai hitam.

"Suspek akan mengarahkan mangsa membuat laporan polis dengan segera dan menyambung talian kepada suspek kedua kononnya bertindak sebagai pegawai polis yang boleh mengambil laporan mangsa.

"Suspek kedua akan memaklumkan mangsa juga terbabit dengan penggubahan wang haram serta kesalahan dadah yang mencecah ratusan ribu ringgit," katanya.

Katanya, mangsa takut dengan ugutan itu dan pemanggil akan mengambil kesempatan dengan mencadangkan supaya memasukkan semua wang simpanan ke satu akaun milik suspek ketiga bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil.

"Sebaik menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis dengan harapan boleh mendapatkan kembali wang mereka. Polis akan membuat siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, namun agak sukar untuk menjejaki suspek kerana semua urusan hanya berjalan menerusi panggilan telefon dan dalam talian," katanya.

Berita Harian X