Jumaat, 16 Februari 2018 | 3:33pm
MUHAMAD Laham. - Foto Adnan Ibrahim
MUHAMAD Laham. - Foto Adnan Ibrahim

Lagi kes basikal lajak

KLUANG: Polis merampas 11 basikal diubah suai tidak mengikut spesifikasi dibenarkan yang diguna sekumpulan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun untuk ke pasar malam di Taman Sri Impian, di sini.

Dalam Ops Basikal Lajak bermula jam 5 hingga 7 petang semalam, semua ibu bapa dan penjaga kepada 11 remaja terbabit turut dipanggil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) untuk diberi kaunseling.

Ketua Polis Daerah Kluang, Assistan Komisioner Muhamad Laham, berkata operasi dilakukan berikutan laporan di sebuah laman media sosial Facebook (FB) dan satu gerakkan mengesan kumpulan yang dikenali dengan panggilan basikal lajak itu dilakukan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, sebaik mendapat maklumat kumpulan remaja lelaki terbabit berkumpul di pasar malam berkenaan, sepasukan 12 anggota dikejarkan untuk melakukan serbuan dan siasatan.

"Sebaik tiba di lokasi yang dilaporkan, pihak polis mendapati semua basikal lajak diletakkan di satu kawasan di pasar malam sebelum kumpulan remaja yang juga pemilik basikal berjaya dikesan.

"Hasil pemeriksaan ke atas basikal itu, pihak polis mendapati ia menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Muhamad berkata, semua ibu bapa atau penjaga kepada remaja kemudiannya dipanggil untuk hadir ke BSPTD untuk mengambil anak-anak mereka.

"Mereka juga diberikan kaunseling mengenai bahaya menunggang basikal lajak dan amaran keras supaya jangan mengulangi perbuatan sama pada masa hadapan. Semua basikal turut ditahan mengikut seksyen yang sama," katanya.

Berita Harian X