Selasa, 13 Februari 2018 | 1:43pm
M Gunasegaran (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan membunuh kekasihnya. - Foto Syarafiq Abd Samad
M Gunasegaran (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan membunuh kekasihnya. - Foto Syarafiq Abd Samad

Teman lelaki didakwa bunuh kekasih

PETALING JAYA: Pengawal keselamatan yang menyerah diri dengan membawa mayat kekasihnya ke Balai Polis Damansara selepas mengaku membunuh mangsa, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh.

Tiada pengakuan direkodkan diambil daripada M Gunasegaran, 37, sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Lelaki yang memakai baju T berwarna putih dilihat hanya tunduk di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding dan hanya mengangguk faham.

Mengikut pertuduhan, Gunasegaran, didakwa melakukan pembunuhan ke atas D Tharani, 35, di parkir pasar raya Giant Kota Damansara, pada 1.50 tengahari, 5 Februari lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes dan laporan berhubung kes berkenaan.

Akhbar melaporkan, Tharani maut ditikam di leher menggunakan pisau pemotong sayur oleh rakan sekerjanya ketika berada dalam kereta di kawasan parkir pasar raya di Kota Damansara, jam 1.30 tengah hari Isnin lalu.

Selepas menikam mangsa, lelaki itu memandu ke Balai Polis Damansara untuk menyerah diri bersama mayat mangsa yang dibawa dalam kereta terbabit.

Berita Harian X