Isnin, 12 Februari 2018 | 8:29pm
PASUKAN bomba menggunakan beg udara bagi mengeluarkan mayat mangsa yang terperosok di bawah lori pasir dalam kemalangan di Persiaran Kewajipan, pagi tadi.
PASUKAN bomba menggunakan beg udara bagi mengeluarkan mayat mangsa yang terperosok di bawah lori pasir dalam kemalangan di Persiaran Kewajipan, pagi tadi.

Wanita maut dilanggar lori pasir

SUBANG JAYA: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar lori pasir di Persiaran Kewajipan dari arah USJ 8 ke arah Lebuhraya KESAS di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa, Asmawati Mat Asri, 27, berasal dari Setiawan, Perak, maut di lokasi akibat digilis dan diseret kira-kira 100 meter oleh lori pasir terbabit.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin, berkata siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai dilanggar dari belakang oleh lori yang dipandu lelaki berusia 46 tahun.

"Mangsa dilanggar di lorong tengah laluan berkenaan sebelum digilis dan diseret bersama motosikal lebih kurang 100 meter.

"Pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, pemandu lori berasal dari Kuala Kubu Bharu itu kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan masih diteruskan bagi memastikan punca sebenar kemalangan.

"Kita minta saksi yang melihat kemalangan itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019 4642222," katanya lagi.

Sementara itu, pasukan bomba Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya bersama-sama 11 anggota diketuai Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman dikejarkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah lori.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata anggota bomba menggunakan beg udara untuk meninggikan lori sebelum menarik keluar mayat mangsa dari bawah lori terbabit.

"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berita Harian X