X
Khamis, 8 Februari 2018 | 7:11pm

Komen jelik menerusi FB, peniaga kena denda RM20,000

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan memuat naik kandungan komunikasi berunsur jelik berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menerusi Facebook, dua tahun lalu.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Azhar Mamat, 45, selaku orang kena saman (OKS) sebaik lelaki itu mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Azhar turut berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Azhar didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook 'Azhar Mamat' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain jam 10.16 malam, 21 Julai dan jam 8.27 malam, 27 Julai 2016.

Bagi pertuduhan keempat, OKS didakwa menggunakan Facebook secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada jam 8.28 malam, 29 Julai dua tahun lalu.

Semua pautan itu telah dibaca di Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), tingkat 11, Menara A, Pandan Capital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini, pada jam 7 malam, 15 Ogos 2016.

Bagi pertuduhan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 234(1)(a), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3), akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya

Terdahulu, peguam Adlizan Noor yang mewakili Azhar memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya atas alasan OKS perlu menanggung isteri yang tidak bekerja, anak dan ibunya dengan pendapatan dalam lingkungan RM3,000 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria bagaimanapun memohon hukuman tegas atas alasan kesalahan yang dilakukan OKS boleh menjejaskan nama baik dan reputasi dua individu iaitu Perdana Menteri dan Peguam Negara kita.

Berdasarkan fakta kes, seorang individu telah membaca empat kandungan komunikasi berunsur jelik yang telah dimuat naik oleh OKS.

Hasil siasatan mendapati akaun Facebook itu adalah milik OKS. Individu berkenaan telah membuat laporan kepada SKMM berkaitan kandungan komunikasi berkenaan.

Berita Harian X