Khamis, 8 Februari 2018 | 3:06pm

3 rakan didakwa miliki wang palsu

AMPANG: Tiga individu, termasuk suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki 3,363 keping wang palsu berjumlah AS$257,590, tahun lalu.

Peniaga buah, Kamal Ishak, 58 dan isterinya, Ramalah Zakaria, 50, serta pengimport kereta terpakai, Shahar Abd Karim, 76, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa memiliki wang palsu 2,296 keping AS$100; 285 keping AS$50; 592 keping AS$USD20 dan 190 keping AS$10 dengan niat untuk menggunakannya sebagai tulen.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Sinaran Ukays Residen, Bukit Antarabangsa, di sini, jam 3.30 pagi, pada 9 Jun 2017. Mereka didakwa mengikut Seksyen 498C Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Kamal dan Ramalah yang tidak diwakili peguam dalam rayuan mereka memohon dikurangkan ikat jamin kerana tidak mampu dan hanya menjual buah-buahan di tepi jalan.

Shahar dalam rayuannya, turut memohon jaminan rendah dengan alasan mempunyai 10 anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X