Rabu, 7 Februari 2018 | 8:16pm
MOHD Rafizi dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank termasuk milik National Feedlot Corporation (NFC) pada 2012. - Foto Roslin Mat Tahir
MOHD Rafizi dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank termasuk milik National Feedlot Corporation (NFC) pada 2012. - Foto Roslin Mat Tahir

Rafizi kena lagi

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, kembali ke kandang tertuduh, hari ini hanya beberapa jam selepas dihukum penjara 30 bulan, bagi menghadapi pertuduhan membuat tohmahan terhadap Tabung Haji pula.

Majistret Umzarul An-Nur Umar hari ini menolak permohonan bantahan awal Rafizi untuk menggantung prosiding perbicaraan terhadapnya bagi kes menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji dalam akaun Facebook miliknya, dua tahun lalu.

Umzarul An-Nur dalam penghakimannya berkata, Seksyen 133 Kanun Acara Jenayah (KAJ) tidak terpakai dalam kes terhadap Rafizi kerana ia bukan saman persendirian.

Mahkamah Majistret, di sini, kemudian mengarahkan perbicaraan diteruskan dengan memanggil saksi memberikan keterangan.

Pengadu kes terbabit, Ketua Pegawai Kewangan Tabung Haji, Datuk Rozaida Omar, dalam keterangannya hari ini memberitahu, artikel disiarkan Rafizi itu bersifat memfitnah dan memberikan kesan negatif kepada syarikat itu.

"Berdasarkan pemerhatian kami, artikel itu menyebabkan beberapa pendeposit kami mengeluarkan wang mereka daripada akaun," katanya.

Dalam perbicaraan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Abazafree Mohd Abas, bertindak mewakili pihak pendakwaan.

Semalam, peguam, Gobind Singh Deo, yang mewakili Rafizi memberitahu mahkamah, anak guamnya mempersoalkan kesahihan perbicaraan kerana mendakwa majistret gagal menjalankan pemeriksaan terhadap aduan pengadu.

Rafizi didakwa dengan pertuduhan pindaan iaitu menyiarkan dalam akaun Facebook 'Rafizi Ramli' bertarikh 9 Februari 2016 artikel bertajuk Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015, mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji, yang boleh merosakkan nama baik lembaga itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di sini pada jam 9 pagi, 18 Februari 2016.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X