Ahad, 4 Februari 2018 | 7:48pm
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi mengesahkan kes seorang wanita warga Indonesia mati dibelasah suaminya, di Sandakan. - Foto NSTP
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi mengesahkan kes seorang wanita warga Indonesia mati dibelasah suaminya, di Sandakan. - Foto NSTP

Tendang, hempas isteri ke lantai

SANDAKAN: Seorang wanita mati dipercayai dibelasah suaminya dalam kejadian di Kampung Sandakan, Batu 10, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, wanita warga Indonesia berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, di sini, berikutan cedera parah dipercayai ditendang dan dihempas ke lantai.

Difahamkan, mangsa berusia 38 tahun itu ditinggalkan suami dan anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke hospital oleh jirannya.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh pihak hospital.

Berikutan itu, katanya, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian iaitu di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

"Siasatan mendapati, ketika kejadian suspek, yang juga suami mangsa iaitu lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun, bertengkar dengan anak sulungnya.

"Mangsa cuba meleraikan pergaduhan antara suami dan anaknya, namun suspek dilaporkan naik berang lalu menendang, menolak serta menghempas mangsa ke lantai rumah.

"Mangsa kemudian dilaporkan tidak sedarkan diri. Sejurus itu, suami dan anak-anaknya melarikan diri. Mangsa dibawa ke hospital oleh jirannya dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 malam tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, suspek ditahan kira-kira jam 6.30 pagi tadi di sebuah rumah dalam ladang kelapa sawit di Batu 12 dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X