Jumaat, 2 Februari 2018 | 6:35pm

Kes dera: Kerusi, tali pinggang dipercayai digunakan

PORT DICKSON: Kerusi dan tali pinggang antara barang yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, sehingga menyebabkannya meninggal dunia, semalam.

Barangan terbabit ditemui polis selepas suspek berusia 35 tahun dan isterinya, 34, yang juga ibu tiri mangsa dibawa ke kediaman mereka di Taman Vista Jaya, Lukut, di sini, untuk membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Pasangan terbabit dibawa ke lokasi berkenaan selepas polis mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Port Dickson kira-kira 12 tengah hari.

Suspek yang memakai baju lokap jingga dengan tangan bergari dibawa polis ke dalam rumah secara berasingan bagi menunjukkan lokasi dan barangan yang digunakan untuk mendera mangsa.

Perbuatan kejam anggota tentera terbabit mendera anak kandung dipercayai dilakukan sejak dua tahun lalu selepas bercerai dan mendapat hak penjagaan anak.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, berdasarkan pengakuan awal, suspek mendakwa memukul mangsa menggunakan tali pinggang pada malam kejadian.

"Suspek juga mengaku menendang dan memijak mangsa sehingga terkencing sebelum mangsa tidak sedarkan diri di dalam biliknya pada jam 11.30 malam. Suspek kemudian membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban dan disahkan meninggal dunia, sejam kemudian.

"Malah, suspek turut membuat pengakuan pernah memukul mangsa menggunakan kerusi plastik sebelum ini. Berikutan itu, polis merampas kerusi itu yang sudah patah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Majistret Siti Khairiah Abdul Razak membenarkan suami isteri itu direman tujuh hari sehingga 8 Februari ini selepas pegawai penyiasat Inspektor Mahafiz Mat Lawi membuat permohonan itu di mahkamah.

Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Akhbar melaporkan, Nur Aina Nabihah meninggal dunia akibat didera selepas keputusan bedah siasat mendapati kanak-kanak terbabit cedera pada buah pinggang, selain usus terkoyak dan patah tulang rusuk dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

BAPA kepada mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah ketika dibawa ke kediamannya untuk membantu siasatan susulan kematian mangsa yang dipercayai didera.- Foto Iqmal Haqim Rosman
BAPA kepada mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah ketika dibawa ke kediamannya untuk membantu siasatan susulan kematian mangsa yang dipercayai didera.- Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X