Jumaat, 2 Februari 2018 | 4:22pm
TERTUDUH diiringi anggota polis ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan merogol di Kompleks Mahkamah Ampang.- Foto Rosdan Wahid
TERTUDUH diiringi anggota polis ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan merogol di Kompleks Mahkamah Ampang.- Foto Rosdan Wahid

Pengasas pusat kebajikan mengaku tak bersalah rogol, cabul

KUALA LUMPUR: Pengasas Pusat Kebajikan, Zahari Alwi, 56, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Sesyen Ampang, hari ini atas pertuduhan merogol, mencabul dan memiliki bahan lucah iaitu gambar, filem dan zakar lelaki palsu.

Tertuduh, Zahari didakwa atas dua pertuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun 1 bulan di dalam bilik tidur di dua buah rumah di Taman Keramat dan Taman Seri Keramat, pada jam 1 tengah hari 2016 serta waktu petang pada Ogos 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Zahari juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mencabul dua kanak-kanak perempuan di dua premis berbeza, tiga tahun tahun lalu.

Dia didakwa mengunakan kekerasan jenayah bagi maksud mencabul kehormatan kanak-kanak berusia 10 tahun 3 bulan di ruang tamu sebuah rumah di Taman Seri Keramat, pada Disember 2015.

Dia sekali lagi didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak yang sama pada Disember 2016, di ruang tamu sebuah rumah di Taman Keramat.

Tertuduh juga didakwa mencabul seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Taman Seri Keramat pada 2016.

Bagi ketiga-tiga perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga berhadapan dengan pertuduhan memiliki filem bahan lucah di dalam bilik sebuah rumah di Taman Keramat, pada jam 7 malam, 10 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.

Zahari juga didakwa membuat dan memiliki gambar lucah pegun milik kanak-kanak berusia 10 tahun 3 bulan, yang dirakam di bilik air sebuah rumah di Taman Seri Keramat serta disimpan di dalam komputer ribanya, pada jam 1 tengah hari, Disember 2015.

Tertuduh turut didakwa memiliki objek lucah iaitu zakar palsu di dalam bilik sebuah rumah di Taman Keramat, pada jam 7 malam, 10 Januari lalu.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang hanya menggeleng-gelengkan kepala ketika pertuduhan dibacakan diwakili peguam bela, Illynadiah Mohd Yusof.

Tiada jaminan diberikan berikutan Zahari kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Zahari kemudian membuat pengakuan tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret dan satu Mahkamah Sesyen. Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamed Kamil Nizam, Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Majistret Haslinda A Raof.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak dan Nadiah Malek Fauzie.

Mahkamah menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Pada 29 Januari lalu, isteri tertuduh, Khairulbariah Mian, 30, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Zahari untuk mencabul dua kanak-kanak perempuan di dua buah premis, tiga tahun lalu.

Berita Harian X