Khamis, 1 Februari 2018 | 4:39pm
ASISTEN Komisioner Ismail Mat Sidik. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
ASISTEN Komisioner Ismail Mat Sidik. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Rugi RM200,000 dalam tempoh 3 hari ditipu Macau Scam

KOTA BHARU: Seorang pesara kerajaan kerugian lebih RM200,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam, di sini, minggu lalu.

Mangsa lelaki berusia 60-an dikatakan menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali dan pemanggil berkenaan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kedah.

Lelaki berkenaan memaklumkan mangsa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan sejumlah wang sudah dimasukkan dalam akaun mangsa.

Mangsa kemudian diminta suspek supaya mengeluarkan semua wang simpanannya dalam Tabung Haji dan memasukkan wang berkenaan dalam akaun Bank Islam milik suspek.

Malah, mangsa juga didesak melakukan proses pemindahan wang berkenaan menerusi internet bagi memudahkan urusan.

Mangsa yang panik terpaksa mengikut arahan suspek kerana percaya suspek adalah anggota polis yang sudah melakukan siasatan berhubung kes berkenaan.

Mangsa kemudiannya melakukan beberapa kali transaksi bermula pada 9 Januari sehingga 11 Januari lalu kepada akaun berlainan yang diberikan suspek, gara-gara terpedaya dan bimbang akan keselamatannya.

Bagaimanapun, pada hari terakhir transaksi dilakukan, mangsa menyemak akaun simpanannya dan terkejut melihat baki yang hanya tinggal sedikit sebelum sedar dia sebenarnya ditipu dan tampil membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dilakukan.

Berita Harian X