Khamis, 1 Februari 2018 | 3:27pm
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Seremban selepas didakwa memecah masuk dan mencetuskan kebakaran terhadap sebuah tokong di Bukit Jong, Temiang pada 21 Januari lalu. - Foto Iqmal Haqim Rosman
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Seremban selepas didakwa memecah masuk dan mencetuskan kebakaran terhadap sebuah tokong di Bukit Jong, Temiang pada 21 Januari lalu. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Penganggur bakar tokong didakwa

SEREMBAN: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana membakar sebuah tokong lama berusia 154 tahun, di sini, pada 21 Januari lalu.

L Kogilan, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil di depan Hakim Fathiyah Idris.

Dia didakwa melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebakaran di Tokong Then Sze Khoon, kira-kira jam 5 pagi pada 21 Januari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan dia diikat jamin RM8,000 dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohamad Azri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kogilan yang memakai pakaian lokap jingga, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan pecah masuk dan mencuri tabung besi di tokong sama pada tarikh dan masa yang sama.

Berikutan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret V Vanita tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Azizi Abdull Aziz.

Berita Harian X