Selasa, 30 Januari 2018 | 7:17pm

Wanita didakwa salah guna wang pakej percutian

PETALING JAYA: Seorang wanita yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes tipu pelakon, Den Wahab dan pengarah filem, Aziz M Osman, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyalahgunakan wang pakej percutian bernilai lebih RM27,000.

Nor Farah Farhan Abdul Fattah, 36, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nor Farah didakwa menyalahgunakan wang milik Sarida Shaari, 56, berjumlah RM15,500 untuk pembayaran ke Maghribi dan Sepanyol, bagi pembelian pakej percutian pada 10 hingga 21 Oktober 2017, di mana tertuduh gagal memberikan pakej itu selepas pembayaran dibuat di CIMB Kelana Jaya, di sini, pada 19 September 2017.

Ibu kepada tiga anak itu turut didakwa menyalahgunakan wang tunai milik isteri Aziz M Osman, Puteri Salbainun Lokman, 29, berjumlah RM11,680 untuk pembelian pakej percutian ke Korea Selatan pada 23 hingga 27 Disember 2017, di mana tertuduh gagal memberikan pakej itu selepas mangsa membuat pembayaran.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan 2, Casabella Off Jalan Teknologi 3/11 Kota Damansara, di sini, antara 5 Disember dan 14 Disember 2017.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik menawarkan ikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya, memohon dikenakan jaminan rendah dengan alasan anak keduanya menghidap penyakit leukimia dan sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 9 Mac ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Berita Harian X