Selasa, 30 Januari 2018 | 1:54pm
ANTARA dadah yang dirampas daripada seorang pengedar dadah kecil-kecilan yang ditahan di FELDA Lui Muda di Jempol, semalam.
ANTARA dadah yang dirampas daripada seorang pengedar dadah kecil-kecilan yang ditahan di FELDA Lui Muda di Jempol, semalam.

Tokan dicekup, jam tangan mewah dirampas

JEMPOL: Jam tangan mewah serta motosikal berkuasa besar yang masing-masing bernilai lebih RM20,000 adalah antara yang dirampas daripada seorang pengedar dadah kecil-kecilan yang ditahan di FELDA Lui Muda di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim, berkata suspek berusia 28 tahun ditahan jam 5.30 petang, dipercayai ketika dalam perjalanan untuk menjual dadah kepada penagih di kawasan itu.

"Dia yang terkejut cuba melarikan diri ketika dihampiri sepasukan anggota polis, namun berjaya ditahan tidak lama kemudian.

"Pemeriksaan pada beg miliknya menemui enam paket plastik lutsinar dadah jenis heroin seberat 48.67 gram dan dua paket dadah jenis syabu seberat 3.65 gram yang semuanya dianggarkan bernilai RM3,100," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, jam tangan mewah berjenama terkenal yang dipakai suspek dirampas dan polis akan menyiasat pemilik sebenarnya sebelum mengambil tindakan lanjut.

Sementara itu di Jelebu, seorang penagih sanggup menunggang motosikal sejauh lebih 130 kilometer dari Melaka untuk melepaskan gian di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Pasoh Empat di sini, semalam.

Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 20 tahun itu membawa padah apabila dia ditahan polis yang melakukan Op Sarang di kawasan itu antara jam 4 pagi hingga 4.40 petang.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata suspek adalah antara 11 penagih serta seorang pengedar berusia antara 20 hingga 50 tahun yang ditahan dalam operasi berkenaan.

"Penagih terbabit menerima pelawaan daripada rakannya yang tinggal di tanah rancangan itu untuk datang melepaskan gian bersama-sama.

"Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X