Isnin, 29 Januari 2018 | 8:27pm
TAN Sri Mohamad Fuzi Harun.- Foto fail NSTP
TAN Sri Mohamad Fuzi Harun.- Foto fail NSTP

Polis tidak pernah henti cari Muhammad Ridhuan: KPN

KUALA LUMPUR: Polis menegaskan tidak pernah berhenti mencari mualaf, Muhammad Ridhuan Abdullah yang didakwa masih gagal menyerahkan anak perempuan kepada bekas isteri, M Indira Gandhi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata usaha mengesan dan menangkap lelaki itu masih berterusan sejak 2014, iaitu selepas Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada 30 Mei 2014 mengarahkan Muhammad Ridhuan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.

Katanya, tindakan itu dibuat berdasarkan waran dan pengkomitan dikeluarkan mahkamah terbabit, namun pihaknya hingga kini masih gagal menjejaki Muhammad Ridhuan biarpun pernah mengeluarkan satu kenyataan media bertarikh 29 April 2016 bagi mendapatkan kerjasama orang ramai, termasuk lelaki itu sendiri untuk menghubungi polis.

"Hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak M Indira Gandhi (bekas isteri Muhammad Ridhuan) adalah terbatal dan tidak sah.

"Susulan itu, beliau mengeluarkan kenyataan umum bahawa pihak polis tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mencari dan menangkap bekas suami yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan mereka kepadanya.

"Di sini, saya tegaskan bahawa usaha mengesan dan menangkap Muhammad Ridhuan masih berterusan sejak 2014 lagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Mohamad Fuzi, pihaknya turut memaklumkan kepada peguam mewakili Indira Gandhi mengenai segala langkah yang sudah diambil polis dalam usaha mengesan lelaki itu melalui dua surat bertarikh 13 Jun dan 20 Julai tahun lalu.

"Polis sekali lagi memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Muhammad Ridhuan untuk tampil memberi kerjasama dalam menyelesaikan kes ini," katanya.

Berita Harian X