TAWAU: Lima kru warga Indonesia dengan bot nelayan tempatan, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Inderasabah, dekat sini, malam tadi.
Mereka ditahan pada jam 7.15 malam, selepas didapati melanggar syarat lesen perikanan yang ditetapkan.
Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Romli Mustafa, berkata semua ditahan membabitkan seorang tekong dan empat awak-awak berusia antara 19 hingga 43 tahun.
"Bot nelayan itu ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin di kawasan berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda berhampiran pantai, iaitu jarak dari pantai lebih kurang 1.7 batu nautika dengan kedalaman lebih kurang enam meter.
"Memang menjadi kesalahan jika menarik pukat tunda kurang daripada tiga batu nautika daripada pantai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Romli berkata, bot nelayan itu dengan hasil tangkapan ikan pelbagai jenis seberat 100 kilogram, juragan dan awak-awak dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," katanya.
Beliau berkata, semua kru itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.