Ahad, 28 Januari 2018 | 3:58pm
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - Foto Amir Irsyad Omar
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - Foto Amir Irsyad Omar

Minta duit tidak diberi, ugut bunuh keluarga

BUTTERWORTH: Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan mengugut untuk membunuh ahli keluarganya di sebuah rumah dekat Sungai Dua, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki terbabit yang berusia 32 tahun dikatakan mengamuk selepas gagal mendapatkan wang yang diminta daripada ahli keluarganya untuk membeli dadah.

Suspek yang berang dikatakan terus mengamuk dan memecahkan pelbagai barangan di dalam rumah keluarganya itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata sepasukan polis bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan daripada adik perempuan suspek yang ketakutan selepas lelaki berkenaan turut mengugut untuk membunuh mereka sekeluarga.

Ketika kejadian, katanya hanya adik perempuan, kakak dan bapa mangsa berada di rumah dan mereka enggan memenuhi kehendak suspek yang meminta wang untuk membeli dadah.

"Sepasukan anggota yang bergegas ke lokasi menahan lelaki terbabit dan ujian saringan air kencing dilakukan mengesahkan suspek positif dadah.

"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah kekerasan dan dadah dan dia kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berita Harian X