Rabu, 24 Januari 2018 | 9:13pm
SEORANG buruh Rosli Othman, 35, maut dipercayai terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang sedang dicas menggunakan wayar sambungan di Kampung Baru Nyalas. - Foto Ihsan Polis

Buruh maut terkena renjatan cas telefon bimbit

JASIN: Seorang buruh lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang sedang dicas menggunakan wayar sambungan di Kampung Baru Nyalas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Rosli Othman, 35, beralamat di FELDA Bukit Senggeh, ditemui dalam keadaan terlentang di sebuah bilik di rumah rakannya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata kejadian disedari rakannya selepas melihat mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Di sisi mangsa, terdapat sebuah telefon bimbit, alat pengecas telefon serta wayar sambungan elektrik.

"Pemeriksaan awal ke atas mangsa mendapati tiada kecederaan lain.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Daerah Jasin dan hasil laporan kematian disebabkan degupan jantung tidak stabil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan siasatan turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Berita Harian X