Rabu, 24 Januari 2018 | 4:27pm
NIK Ros Azhan Nik Abdul Hamid.- Foto Ramdzan Masiam
NIK Ros Azhan Nik Abdul Hamid.- Foto Ramdzan Masiam

Polis tahan 3 lelaki, rampas 4kg ganja

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan tiga lelaki dan merampas hampir empat kilogram (kg) bernilai RM11,720 dalam sekatan jalan raya di susur keluar Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) di sini, tengah malam tadi.

Suspek berusia 31 hingga 37 tahun yang dipercayai pengedar dadah, ditahan kira-kira jam 12.35 tengah malam dalam sebuah kereta, dipercayai dalam perjalanan pulang ke Selangor selepas mengambil bekalan dadah berkenaan daripada seorang pembekal di utara.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pemeriksaan lanjut terhadap kereta yang dinaiki tiga suspek menemui dua ketulan mampat ganja disorokkan di bawah tempat duduk penumpang depan.

"Kita turut menemui sebuah beg galas yang mengandungi dua lagi ketulan mampat ganja di dalam kereta yang dinaiki tiga suspek berasal dari Selangor itu.

"Kita menahan kereta yang dinaiki suspek selepas mendapati ada unsur yang mencurigakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif ganja, manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah.

"Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam sekatan sama, katanya, polis turut menahan dua penagih dadah berusia 24 dan 39 tahun selepas pemeriksaan terhadap kenderaan mereka menemui satu plastik lutsinar disyaki syabu serta peralatan menghisap dadah.

Berita Harian X