Selasa, 23 Januari 2018 | 8:00pm
PENGHUNI sebuah kondominium di Jalan Desa Utama, Kuala Lumpur, gempar apabila kren digunakan bagi mengangkat batu di sebuah tapak pembinaan yang terletak bersebelahan bangunan kediaman mereka tumbang secara mendadak. - Foto NSTP

Kren tumbang di tapak pembinaan

 

KUALA LUMPUR: Sebuah kren di tapak pembinaan projek perumahan di Taman Desa tumbang dan memasuki kawasan kondominium bersebelahan dan merosakkan sebuah bilik pengudaraan, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.13 petang itu, kren berkenaan difahamkan sedang mengalihkan sebuah bongkah batu, sebelum tumbang ke dalam pekarangan letak kenderaan kondominium terbabit.

Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.31 petang tadi.

"Seramai lapan anggota dan sebuah jentera tiba di lokasi pada jam 2.41 petang bagi membantu mengalihkan palang terbabit.

"Setakat ini tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, wakil penduduk kawasan kondominium berkenaan, M Gunasekar berkata, kejadian berkenaan tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta penduduk.

"Mujur ketika kren itu tumbang, tiada penduduk dan kenderaan berada di situ. Namun, ada penduduk mendakwa terdengar bunyi bising yang amat kuat,

"Bayangkan jika kren itu jatuh ke kawasan sekolah, ia akan menyebabkan malapetaka lebih teruk," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kejadian itu adalah perkara yang amat dibimbangi penduduk sekitar yang sudah beberapa kali menghantar aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebelum ini, BH pernah menyiarkan bantahan penduduk di situ, yang bimbang dengan keselamatan mereka kerana tapak projek berkenaan yang terlalu hampir dengan kediaman penduduk.

Malah mereka mendakwa amat terganggu dan tertekan dengan bunyi bising selain berhadapan masalah pencemaran habuk dan kesesakan trafik yang teruk setiap hari.

Berita Harian X