Ahad, 21 Januari 2018 | 4:48pm
ANGGOTA bomba berusaha mencari dua beradik dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air di tali air di FELCRA Seberang Perak, Changkat Lada. - Foto ihsan Bomba

Sedih tidak dapat selamatkan abang

KAMPUNG GAJAH: "Apabila Lukman beritahu dia sudah tak larat, saya mahu pergi ke arah mereka, namun saya tak terdaya ketika itu saya juga kepenatan.

"Apabila sudah sampai di tebing, tiba-tiba saya lihat Lukman tenggelam ke dalam air, hanya tangan terkapai-kapai dan saya tidak mampu buat apa-apa untuk menyelamatkannya," kata Kamaruddin Abd Samad,18.

Kamaruddin dan dua adik beradiknya mandi bersama, namun abangnya, Lukman, 20, dan adik bongsunya, Muhammad Raihan, 6, lemas di tali air Peringkat 10, FELCRA Changkat Lada, jam 11.30 pagi hari ini.

Kamaruddin berkata, sebelum kejadian itu dia dan ibu bapanya Jamaiyah Mohd Yusof, 44, dan Abd Samad Abu, 52, serta Lukman dan Muhammad Raihan selain seorang lagi adiknya Hasan,12, keluar memukat ikan pada jam 10 pagi.

Katanya, selepas menahan pukat mereka pulang dengan menaiki dua motosikal berasingan dan dia membonceng dengan Lukman dan Raihan manakala ibu bapanya dengan Hassan.

Katanya, abangnya itu pelajar Kolej Vokasional Seri Iskandar dan sedang menjalani latihan praktikal di Teluk Intan.

"Masa tu saya cakap dengan Lukman 'Man, jom mandi' dan kami pergi kawasan bendang, namun abang mengajak saya ke tempat lain kerana katanya di situ tidak menarik untuk mandi.

"Kami kemudian ke sini dan lihat airnya tenang dan kami berdua cuba berenang dahulu sebelum membawa Raihan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Katanya, ketika berenang dia membawa Raihan di belakang, namun kemudian kepenatan sebelum abangnya pula mengambil Raihan untuk membantunya sebelum dia menyuruhnya berenang ke tebing.

"Namun selepas itu Lukman beritahu dia juga tidak larat dan saya ajak mereka ke tepi supaya kami boleh berpaut pada rumput.

"Abang yang membawa Raihan tiba-tiba terkapai-kapai sebelum saya mencapai tangan abang, namun terlepas dan hilang dari pandangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata laporan awal yang diterima memaklumkan tiga beradik itu dihanyutkan air yang berpusar ketika sedang mandi.

"Ketiga-tiga mereka cuba berenang ke tepi, namun ketika hampir tiba di tebing dua mangsa terbabit dipercayai lemas.

"Mayat Lukman ditemui pada jam 4.50 petang sementara gerakan mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Raihan sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi.

Sehingga jam 6.30 petang, Muhammad Raihan masih belum ditemui dan SAR dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar dengan turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Ipoh.

Berita Harian X