Isnin, 15 Januari 2018 | 6:12pm
PDRM logo
PDRM logo

Kanak-kanak parah, jatuh dari tingkat 7

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Setia Alam, di sini, pagi tadi.

Mangsa dipercayai tinggal berdua bersama adik lelakinya di dalam rumah berkenaan dalam kejadian pada jam 7.30 pagi itu, manakala bapanya yang berusia lingkungan 40-an menghantar tiga lagi abang mereka ke sekolah berdekatan.

Kejadian itu hanya disedari bapa mangsa selepas pulang ke rumah dan mendapati anaknya tiada di rumah.

Beliau kemudian menemui mangsa terbaring di bawah pangsapuri itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ahli keluarga terdekat mangsa yang enggan dikenali berkata, bapa mangsa mengunci pintu rumah berkenaan ketika keluar menghantar tiga lagi anaknya berikutan kedua-dua kanak-kanak itu sedang tidur.

"Namun, sebaik pulang untuk menghantar mereka berdua ke pusat asuhan kanak-kanak, mangsa tiada di dalam bilik, manakala adiknya masih tidur.

"Bapanya kemudian ke pondok pengawal dan bertanyakan mengenai anaknya. Beliau terkejut apabila anaknya terbaring di bawah pangsapuri berkenaan," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke sebuah klinik di Meru, Klang, tetapi kemudian dikejarkan ke HTAR kerana keadaannya kritikal.

Suasana pilu menyelubungi sekitar Zon Kritikal hospital itu dan ahli keluarga yang berkumpul enggan ditemuramah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata mangsa cedera parah di kepala, tangan kanan serta bahagian dalaman iaitu paru-paru dan perut.

"Siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan terutama bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Berita Harian X