Jumaat, 5 Januari 2018 | 4:26pm

Tukang besi dera anak direman

YAN: Tukang besi yang disyaki mendera anak lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia sembilan tahun sehingga melecur kedua-dua belah tapak kakinya, ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, berkata perintah reman ke atas suspek berusia 34 tahun itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Alor Setar bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi hari ini.

BH, semalam melaporkan polis menahan seorang tukang besi berusia 34 tahun selepas disyaki mendera anak lelakinya menggunakan besi panas di rumah mereka di Kampung Rambai Padang, Pendang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan kejadian selepas guru sekolah kanak-kanak itu mendapati ada kesan lebam di muka serta kesan melecur di kedua-dua tapak kaki mangsa.

Berikutan kejadian itu, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Berita Harian X