Jumaat, 5 Januari 2018 | 9:25am
MINUMAN keras yang dirampas angggota PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di pangkalan haram Sungai Mentua petang semalam. - Foto Ihsan PPM Tumpat
MINUMAN keras yang dirampas angggota PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di pangkalan haram Sungai Mentua petang semalam. - Foto Ihsan PPM Tumpat

Seludup minuman keras guna bot galah

TUMPAT: Taktik licik seorang penyeludup dengan menyorokkan ratusan tin minuman keras dan dua tong arak di bawah papan dalam bot galah, berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Serbuan jam 2.30 petang semalam di pangkalan haram Sungai Mentua, dikesan ketika rondaan dilakukan sepasukan anggota di sekitar kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman, berkata bertindak atas risikan, anggotanya yang menjalankan rondaan melihat sebuah bot galah dalam keadaan mencurigakan di kawasan pokok nipah.

"Dua lelaki sedang memunggah bungkusan plastik dari bot berkenaan ke sebuah kereta yang berada di tepi sungai.

"Menyedari kehadiran pasukan kami, suspek melarikan diri menggunakan kereta dan meninggalkan bungkusan dalam bot," katanya.

Ahmad Amri, berkata hasil pemeriksaan menemui sejumlah 11 bungkusan plastik yang mengandungi 254 tin minuman keras dan dua tong samsu.

"Kita percaya minuman keras yang diseludup itu untuk pasaran sekitar Tumpat dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM7,140, termasuk sebuah bot galah.

"Bot galah dan minuman keras dibawa balik ke Jeti PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

"Kes dirujuk kepada Bahagian Pencegahan, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Pengkalan Kubor di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Berita Harian X