Ahad, 31 Disember 2017 | 6:44pm
JENAZAH Muhammad Aliff tiba di bilik mayat Hospital Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
JENAZAH Muhammad Aliff tiba di bilik mayat Hospital Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KELUARGA Muhammad Aliff menunggu di bilik mayat Hospital Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KELUARGA Muhammad Aliff menunggu di bilik mayat Hospital Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Penunggang motosikal maut digilis treler

MELAKA: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terperosok sebelum digilis sebuah lori treler dalam kejadian di Jalan Pantai Klebang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Aliff Najhmie Abdullah Sani, 17, yang juga anak bongsu daripada enam beradik maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Difahamkan, polis trafik yang tiba di lokasi kejadian terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengutip cebisan daging milik mangsa yang berselerak di jalan raya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis SYM dengan sebuah treler membawa muatan 32 tan gelung besi.

Beliau berkata, sebelum kemalangan kedua-dua kenderaan berkenaan dari arah bulatan Dataran 1Malaysia Klebang menghala ke persimpangan Pulau Gadong.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa cuba memotong treler dan pada masa yang sama cuba mengelak lubang yang terdapat di sebelah kiri jalan.

"Susulan itu, motosikalnya hilang kawalan sebelum mangsa termasuk ke bawah treler, manakala motosikal ditunggangnya terbabas ke kiri jalan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 27 tahun dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan selain kedua-dua kenderaan ditahan bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa pula dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat," katanya.

Berita Harian X