Sabtu, 30 Disember 2017 | 11:04am

Anak tergamak pukul bapa

BUKIT MERTAJAM: Seorang anak tergamak membelasah dan memukul bapa kandungnya dengan kayu sepanjang 0.6 meter, dalam kejadian di rumah dekat Kubang Semang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 72 tahun cedera di tangan dan kaki, selepas dibelasah anak lelakinya yang berusia 28 tahun, yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata mangsa memaklumkan suspek yang juga anak ke-10 daripada 11 adik beradik itu, tiba-tiba mengamuk lalu terus meluru memukul mangsa.

"Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di depan rumah mereka apabila suspek terus meluru dan menumbuk mangsa hingga terjatuh.

"Suspek kemudian bertindak duduk di atas badan mangsa dan memukul mangsa dengan menggunakan kayu hingga menyebabkan mangsa cedera di tangan dan kaki," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek melarikan diri sebaik perbuatannya itu disedari seorang ahli keluarga mereka.

"Mangsa hadir ke Balai Polis Kubang Semang untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

"Susulan daripada laporan berkenaan, polis menahan suspek di rumah mereka pada jam 4.25 petang apabila suspek pulang," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis turut merampas kayu yang digunakan suspek ketika memukul mangsa.

Katanya, suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau itu, kini ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X